Showing posts with label 1001 Cerita Tanam Ros di Malaysia. Show all posts
Showing posts with label 1001 Cerita Tanam Ros di Malaysia. Show all posts

Saturday, March 27, 2010

Terkena racun ros melalui kisah dongeng?



Dulu saya bukanlah seorang yang minat berkebun.

Entah bagaimana saya boleh jatuh cinta, ataupun dengan kata lain 'terkena racun' ros pun saya tidak tahu. Yang pastinya sekarang saya telah mempunyai 70 jenis ros di halaman rumah dan tidak syak lagi bilangan itu semakin bertambah daripada tahun ke tahun.

Kenapa saya begitu sekali meminati bunga ros? Mungkin kerana termakan dek kepopularitian bunga ini yang digembar-gemburkan oleh media barat dan adanya kaitan (association) dengan lambang cinta dan kisah-kisah romantik yang sememangnya secara tidak langsung memberi kesan yang mendalam terhadap tahap minat seseorang.

Tetapi bilakah 'racun' ini bermula atau berlaku ke atas diri saya?

Teori racun

Saya mempunyai satu teori mengenai tentang bagaimana saya terkena racun ros (haha! teori melalut... layan saja) Saya rasa saya telah secara separa sedar dipukau daripada sejak kecil lagi tentang keindahan bunga ros ini.

Saya terpukau oleh enchanting moments cerita-cerita dongeng (fairytales) yang memuatkan bunga ros sebagai isian terpenting cerita ataupun yang menambahkan lagi keindahan cerita itu sendiri.

Contohnya seperti;

Beauty and the Beast
  • Beauty meminta ayahnya membawa pulang sekuntum mawar putih sebagai tanda kasih
  • Masa yang diberikan kepada Beast untuk mencari cinta sejati diabadikan dalam bentuk sekuntum mawar merah yang magical.
  • Beast menunggu kepulangan Beauty di taman mawar putih kesukaan Beauty

Sleeping Beauty
  • Puteri yang lahir diberi nama Briar Rose
  • Mawar liar memenuhi dan menutupi istana selepas Briar Rose ditidurkan

Snow White
  • Wajah Snow White yang diumpamakan putih cerah dan bibir merah bak mawar merah menyala

Dan mungkin beberapa lagi cerita yang saya kurang ingat dan tidak berapa pasti.

Daripada cerita-cerita dongeng masa kecil sebeginilah saya telah menyimpan angan bahawa pada satu hari nanti saya akan dapat bersiar-siar dan bermain di dalam taman ros yang sebegitu rupa, seperti yang digambarkan melalui lukisan-lukisan dalam buku-buku tersebut.

Hakikatnya, apabila dewasa angan-angan itu masih ada dan serupa, tetapi aplikasinya telah berubah. Saya meluahkan keghairahan yang sama tetapi dengan menghasilkan taman bunga ros daripada usaha dan titik peluh sendiri. Bukan sahaja bunga ros yang berkembangan di laman menjadi kepuasan, tetapi berkebun juga menjadi sesuatu yang menenangkan jiwa.



Wednesday, March 24, 2010

Rahsia kenapa ramai orang menyukai ros


Saya sering bertanya apakah yang menarik minat saya menyukai bunga ini sebenarnya?

Sejak bila pula bunga ros meraih populariti dan mendapat tempat dihati orang ramai dan sejak bila pula ros menjadi begitu sempurna sekali hingga dimertabatkan sebagai lambang cinta?

Mungkin jawapan terhadap persoalan saya tentang bagaimana saya meminati akan bunga ini akan terjawab sekiranya saya juga mendapat jawapan bagi soalan diatas.


Menilik sejarah

Yang pasti, manusia telah meminati dan memuja bunga ini sejak berkurun lamanya iaitu sejak 5,000 tahun yang lampau. Ini terbukti dengan penemuan fosil-fosil dan lakaran yang mempunyai corak bunga ros.

Manakala orang Roman pula menanam bunga ros untuk kerabat diraja mereka yang amat memuja bunga ini. Ia digunakan untuk apa jua situasi dan keadaan daripada sebagai hiasan meja makan, ramuan mandian, wangian, confetti hinggalah sebagai herba. Ia sungguh berharga pada masa itu sehinggakan masyarakat Rome telah mengalami kebuluran apabila pengusaha ladang lebih cenderung menanam bunga ros dari menanam tanaman makanan.

Dari pemerhatian saya, mungkin ramai yang tertarik menyukai ros kerana beberapa sebab:

  1. kerana kecantikan kelopaknya yang tersusun sempurna
  2. kerana wangiannya yang menusuk kalbu
  3. kerana durinya yang tajam yang juga membawa maksud 'aku bukan calang-calang bunga; hati-hati jika menyentuhku'; sifat yang hanya dimiliki oleh si ratu sahaja
  4. kerana rupa bentuknya (kelopak, duri, dll) yang ketara yang menyebabkan ia cukup senang dikenali dan diingati berbanding bunga-bunga yang lain
  5. bunga ros seperti mempunyai jiwa (roh)nya yang tersendiri
  6. kerana ada lebih daripada 30,000 jenis ros di dunia ini dan bilangannya bertambah daripada tahun ke tahun; pastinya ada satu ros yang disukai untuk setiap orang
  7. kerana bunga ros mempunyai bermacam-macam warna dan juga kombinasi warna yang begitu luas

Atau mungkin juga atas sebab-sebab lain yang masih belum tersingkap.

Kepopularitian ros

Tetapi yang saya pasti, ros mempunyai daya kekuatan dan tarikannya yang tersendiri jika dibandingkan dengan bunga-bunga yang lain, sekaligus meraih tempat sebagai bunga yang paling sesuai untuk membawa maksud 'cinta'.

Dan yang paling jelas, kepopularitian ros pula digembar-gemburkan oleh mereka yang meminatinya melalui beberapa laluan expresi yang kita sedia ketahui:

  1. kaitannya sebagai bunga pembawa lambang cinta; sekuntum bunga ros melambangkan 'I Love You'
  2. lakaran seni dan puisi indah nan romantis
  3. menghauskan poket di Hari Valentine sehinggakan ketiadaan sejambak ros untuk si dia bermakna 'kurang bemakna' hari itu
  4. keindahan taman bunga ala-ala English garden
  5. lagu-lagu yang merdu dan puitis

Emm.. apa yang menarik minat anda terhadap bunga ini?
Kongsilah dengan saya sebab-sebab anda ya!

Monday, March 22, 2010

Peminat atau bukan peminat bunga ros?

Ramai yang jatuh cinta apabila melihat bunga ros mekar mewangi dan kembang pelbagai rupa dan warna.

Ada yang suka menyentuh kelopaknya yang lembut, ada yang suka melihat bentuk dan susunan kelopaknya yang sempurna dan ada juga yang suka mencium baunya yang wangi.

Ramai pula apabila ditanya apakah bunga kesukaan mereka, pasti akan menjawab ‘bunga kesukaan saya ialah bunga ros’. Lebih ramai lagi yang gembira dan teruja bila menerima sejambak bunga ros dari orang yang tersayang.

Bunga yang ulung

Walau apa jua situasi, yang pasti bunga ros adalah bunga yang ulung. Kuasa bunga ini sangat luarbiasa. Terbukti biarpun hanya setangkai, ia mampu membawa makna agung ‘Aku Cinta Pada Mu’.

Sungguh pun ros sangat popular dan dapat meraih minat pelbagai lapisan masyarakat dan tahap usia, hanya segelintir sahaja yang minat menanamnya untuk menghiasi laman rumah mereka.

Sepanjang usia saya berkecimpung dalam dunia ros ini, pelbagai ragam peminat bunga ros telah saya temui dan setiap mereka mempunyai persepsi yang berbeza-beza tentang bunga ini.

Sekadar suka-suka, saya telah mencipta klasifikasi bagi mendefinasikan golongan-golongan tersebut.

Jom, kita lihat klasifikasinya:

Golongan Peminat Ros:

Kategori:

Maknanya:

Tak minat!

Golongan yang tidak pernah menanam dan menjaga pokok bunga ros dan tidak pula ambil pusing akan hal bunga ini.

Memang suka!

Golongan yang suka akan bunga dan baunya. Suka betul jika diberikan sejambak/sekuntum bunga ros dari si dia. Suka juga melihat pokok bunga ros tersusun mekar di rak di pasaraya dan nurseri, hatta rumah jiran. Walaupun menyimpan angan, mereka sedar tak mampu menanam dan menjaganya kerana 'takut pokok ros mati'. Cukup sekadar membawa pulang ros florist untuk hiasan.

Hidup ke?

Golongan yang tidak tahu bahawa pokok ros pun boleh tumbuh dan hidup subur di Malaysia. Sangkanya pokok ros hanya boleh hidup di negara barat yang beriklim sejuk sahaja.

Ros Kampung

Golongan yang tahu pokok ros boleh hidup di Malaysia. Sebetulnya bermakna mereka pernah melihat ros jenis ini ada ditanam di rumah mak, makcik, nenek dan unyang mereka di kampung. Ros kampung adalah satu-satunya pokok ros yang masih setia hidup di laman mereka dan dikekalkan kerana ia lebih mudah dijaga dan baunya pula sangat harum.

Ros Cameron

Golongan yang menyangka bahawa pokok ros hanya boleh tumbuh / ditanam di Cameron Highland sahaja atau tempat tinggi bersuhu sejuk. Kalau dibawa ke tanah rendah pasti pokok itu pendek umur.

Dah cuba...

Golongan yang membeli beberapa pokok bunga ros, menjaganya untuk beberapa minggu dan gagal apabila ros mereka mati disebabkan oleh beberapa masalah yang mereka kurang pasti. Mereka tidak mahu mencuba lagi kerana tidak berbaloi sungguh untuk menghabiskan wang ringgit membeli lagi jika jangka hayatnya sungguh singkat.

Serik dah…

Golongan yang mencuba menanam dan menjaga ros tetapi seringkali semangat itu diranapkan oleh kehadiran serangga dan penyakit ros yang membuatkan mereka asyik pening kepala. Mereka juga tak puas hati dengan kualiti bunga ros yang terhasil dibawah jagaan sendiri yang 'seperti tak macam waktu beli'. Rasa tak berbaloi bila banyak masa diperlukan untuk menjaga ratu bunga ini.

Gila ros!

Ini golongan yang kebal dan mempunyai seribu satu rahsia penjagaan. ‘Cuba dan cuba lagi’ adalah motto mereka di awal peringkat penjagaan. Dan yang pasti hasilnya lumayan setelah penat menimba ilmu, berkebun dan membelai pokok ros mereka. Merekalah bukti bahawa pokok ros boleh hidup dan tumbuh subur di Malaysia.

Copyright Rough~Rose

Anda tergolong di golongan yang mana? Sertai poll di bawah dan klik result untuk mengetahui golongan peminat yang tertinggi.


Saturday, March 20, 2010

Mencari Pakar Ilmu Bunga Ros

Saya mula menanam dan menjaga pokok bunga ros/mawar sejak 4 tahun yang lalu. Pada 2 tahun pertama, saya mengalami beberapa kegagalan dan kekecewaan, seperti pokok bunga ros mati dalam jagaan hanya selepas beberapa bulan dibeli dan pokok bunga ros diserangi oleh serangga dan penyakit.

Tapi itu tidaklah mematahkan semangat saya untuk terus mencuba dan meneruskan hasrat untuk berjaya menanam demi cinta dan kekaguman saya terhadap ratu bunga ini. Malah dugaan-dugaan ini telah menguatkan lagi semangat saya untuk terus menimba ilmu dan mencari jawapan terhadap segala permasalahan yang timbul.

Jalan buntu

Tetapi yang paling mengecewakan saya ialah apabila saya sering menemui jalan buntu. Pokok ros adalah tumbuhan hidup yang mana sedetik terbuang disebabkan saya tidak tahu apa yang harus dibuat, puas meneka apa yang tak kena, dan percubaan saya mengubatinya yang tidak berjaya; bererti semakin hari pokok ros saya semakin lemah dan akhirnya mati.

Saya tercari-cari mereka yang pakar dalam menangani masalah menanam dan menjaga bunga ros tetapi kebanyakkan mereka yang saya ketemui adalah sama senasib seperti saya.

Internet dan buku-buku pula tidak banyak membantu kerana kurangnya bahan ini dari sumber tempatan yang berinformasi tentang bunga ros. Sumber Barat memang banyak tetapi hanya beberapa informasi sahaja yang boleh diaplikasi dan digunapakai disebabkan oleh perbedaan faktor cuaca dan iklim.

Bukan hobi popular

Faktor kurangnya informasi ini saya kira ialah kerana tidak ramai masyarakat Malaysia yang gemar menanam dan menjaga bunga ros, tidak sama seperti di Barat yang mana masyarakatnya bukan setakat menanam dan menjaga bunga ros tetapi menganggapnya sebagai satu hobi. Membeli dan menukar ke jenis ros yang terbaru dan mengumpul koleksi pokok-pokok bunga ros hingga ke ratusan pokok per individu adalah satu perkara biasa. Malah, industri pokok ros untuk tanaman laman di sana mencecah ke ratusan jutaan dollar.

Jadi, di manakah pakar ilmu ros di Malaysia? Dalam tergapai-gapai mencari jalan penyelesaian, saya sanggup bertanya kepada sesiapa sahaja. Tak kira walaupun dia adalah jiran saya, penjual di nurseri atau professor saya di universiti, asalkan ada jawapan bagi permasalahan tentang ros. Tetapi jawapan yang diberikan seringkali berupa cetek maklumat, seperti yang saya sangka selama ini dan lebih cenderung kepada ‘guessing game’.

Tips: Siapa pakar ilmu ros anda?

Mungkin jika anda bertuah, anda dapat menemui beliau di kebun ini. Tetapi tempat alternatif yang paling sesuai untuk anda temui beliau ialah di nurseri yang berhampiran dengan tempat tinggal anda. Saya syorkan jika anda bertandang ke nurseri, tanyalah kepada si penjual di nurseri tersebut akan hal penjagaan ros, mungkin banyak yang anda boleh pelajari di situ.

Carilah pemilik nurseri dan bukannya pembantu kedai kerana pemilik biasanya lebih arif dan lebih cenderung untuk berkongsi ilmu. Carilah nurseri yang menjual ros yang disemai oleh mereka sendiri kerana mereka lebih berpengalaman; daripada nurseri-nurseri yang hanya menjual ros yang dibekalkan kepada mereka oleh pembekal.