Saya mula menanam dan menjaga pokok bunga ros/mawar sejak 4 tahun yang lalu. Pada 2 tahun pertama, saya mengalami beberapa kegagalan dan kekecewaan, seperti pokok bunga ros mati dalam jagaan hanya selepas beberapa bulan dibeli dan pokok bunga ros diserangi oleh serangga dan penyakit.
Tapi itu tidaklah mematahkan semangat saya untuk terus mencuba dan meneruskan hasrat untuk berjaya menanam demi cinta dan kekaguman saya terhadap ratu bunga ini. Malah dugaan-dugaan ini telah menguatkan lagi semangat saya untuk terus menimba ilmu dan mencari jawapan terhadap segala permasalahan yang timbul.
Jalan buntu
Tetapi yang paling mengecewakan saya ialah apabila saya sering menemui jalan buntu. Pokok ros adalah tumbuhan hidup yang mana sedetik terbuang disebabkan saya tidak tahu apa yang harus dibuat, puas meneka apa yang tak kena, dan percubaan saya mengubatinya yang tidak berjaya; bererti semakin hari pokok ros saya semakin lemah dan akhirnya mati.
Saya tercari-cari mereka yang pakar dalam menangani masalah menanam dan menjaga bunga ros tetapi kebanyakkan mereka yang saya ketemui adalah sama senasib seperti saya.
Internet dan buku-buku pula tidak banyak membantu kerana kurangnya bahan ini dari sumber tempatan yang berinformasi tentang bunga ros. Sumber Barat memang banyak tetapi hanya beberapa informasi sahaja yang boleh diaplikasi dan digunapakai disebabkan oleh perbedaan faktor cuaca dan iklim.
Bukan hobi popular
Faktor kurangnya informasi ini saya kira ialah kerana tidak ramai masyarakat Malaysia yang gemar menanam dan menjaga bunga ros, tidak sama seperti di Barat yang mana masyarakatnya bukan setakat menanam dan menjaga bunga ros tetapi menganggapnya sebagai satu hobi. Membeli dan menukar ke jenis ros yang terbaru dan mengumpul koleksi pokok-pokok bunga ros hingga ke ratusan pokok per individu adalah satu perkara biasa. Malah, industri pokok ros untuk tanaman laman di sana mencecah ke ratusan jutaan dollar.
Jadi, di manakah pakar ilmu ros di Malaysia? Dalam tergapai-gapai mencari jalan penyelesaian, saya sanggup bertanya kepada sesiapa sahaja. Tak kira walaupun dia adalah jiran saya, penjual di nurseri atau professor saya di universiti, asalkan ada jawapan bagi permasalahan tentang ros. Tetapi jawapan yang diberikan seringkali berupa cetek maklumat, seperti yang saya sangka selama ini dan lebih cenderung kepada ‘guessing game’.
Tips: Siapa pakar ilmu ros anda?
Mungkin jika anda bertuah, anda dapat menemui beliau di kebun ini. Tetapi tempat alternatif yang paling sesuai untuk anda temui beliau ialah di nurseri yang berhampiran dengan tempat tinggal anda. Saya syorkan jika anda bertandang ke nurseri, tanyalah kepada si penjual di nurseri tersebut akan hal penjagaan ros, mungkin banyak yang anda boleh pelajari di situ.
Carilah pemilik nurseri dan bukannya pembantu kedai kerana pemilik biasanya lebih arif dan lebih cenderung untuk berkongsi ilmu. Carilah nurseri yang menjual ros yang disemai oleh mereka sendiri kerana mereka lebih berpengalaman; daripada nurseri-nurseri yang hanya menjual ros yang dibekalkan kepada mereka oleh pembekal.
No comments:
Post a Comment