Monday, March 22, 2010

Peminat atau bukan peminat bunga ros?

Ramai yang jatuh cinta apabila melihat bunga ros mekar mewangi dan kembang pelbagai rupa dan warna.

Ada yang suka menyentuh kelopaknya yang lembut, ada yang suka melihat bentuk dan susunan kelopaknya yang sempurna dan ada juga yang suka mencium baunya yang wangi.

Ramai pula apabila ditanya apakah bunga kesukaan mereka, pasti akan menjawab ‘bunga kesukaan saya ialah bunga ros’. Lebih ramai lagi yang gembira dan teruja bila menerima sejambak bunga ros dari orang yang tersayang.

Bunga yang ulung

Walau apa jua situasi, yang pasti bunga ros adalah bunga yang ulung. Kuasa bunga ini sangat luarbiasa. Terbukti biarpun hanya setangkai, ia mampu membawa makna agung Aku Cinta Pada Mu’.

Sungguh pun ros sangat popular dan dapat meraih minat pelbagai lapisan masyarakat dan tahap usia, hanya segelintir sahaja yang minat menanamnya untuk menghiasi laman rumah mereka.

Sepanjang usia saya berkecimpung dalam dunia ros ini, pelbagai ragam peminat bunga ros telah saya temui dan setiap mereka mempunyai persepsi yang berbeza-beza tentang bunga ini.

Sekadar suka-suka, saya telah mencipta klasifikasi bagi mendefinasikan golongan-golongan tersebut.

Jom, kita lihat klasifikasinya:

Golongan Peminat Ros:

Kategori:

Maknanya:

Tak minat!

Golongan yang tidak pernah menanam dan menjaga pokok bunga ros dan tidak pula ambil pusing akan hal bunga ini.

Memang suka!

Golongan yang suka akan bunga dan baunya. Suka betul jika diberikan sejambak/sekuntum bunga ros dari si dia. Suka juga melihat pokok bunga ros tersusun mekar di rak di pasaraya dan nurseri, hatta rumah jiran. Walaupun menyimpan angan, mereka sedar tak mampu menanam dan menjaganya kerana 'takut pokok ros mati'. Cukup sekadar membawa pulang ros florist untuk hiasan.

Hidup ke?

Golongan yang tidak tahu bahawa pokok ros pun boleh tumbuh dan hidup subur di Malaysia. Sangkanya pokok ros hanya boleh hidup di negara barat yang beriklim sejuk sahaja.

Ros Kampung

Golongan yang tahu pokok ros boleh hidup di Malaysia. Sebetulnya bermakna mereka pernah melihat ros jenis ini ada ditanam di rumah mak, makcik, nenek dan unyang mereka di kampung. Ros kampung adalah satu-satunya pokok ros yang masih setia hidup di laman mereka dan dikekalkan kerana ia lebih mudah dijaga dan baunya pula sangat harum.

Ros Cameron

Golongan yang menyangka bahawa pokok ros hanya boleh tumbuh / ditanam di Cameron Highland sahaja atau tempat tinggi bersuhu sejuk. Kalau dibawa ke tanah rendah pasti pokok itu pendek umur.

Dah cuba...

Golongan yang membeli beberapa pokok bunga ros, menjaganya untuk beberapa minggu dan gagal apabila ros mereka mati disebabkan oleh beberapa masalah yang mereka kurang pasti. Mereka tidak mahu mencuba lagi kerana tidak berbaloi sungguh untuk menghabiskan wang ringgit membeli lagi jika jangka hayatnya sungguh singkat.

Serik dah…

Golongan yang mencuba menanam dan menjaga ros tetapi seringkali semangat itu diranapkan oleh kehadiran serangga dan penyakit ros yang membuatkan mereka asyik pening kepala. Mereka juga tak puas hati dengan kualiti bunga ros yang terhasil dibawah jagaan sendiri yang 'seperti tak macam waktu beli'. Rasa tak berbaloi bila banyak masa diperlukan untuk menjaga ratu bunga ini.

Gila ros!

Ini golongan yang kebal dan mempunyai seribu satu rahsia penjagaan. ‘Cuba dan cuba lagi’ adalah motto mereka di awal peringkat penjagaan. Dan yang pasti hasilnya lumayan setelah penat menimba ilmu, berkebun dan membelai pokok ros mereka. Merekalah bukti bahawa pokok ros boleh hidup dan tumbuh subur di Malaysia.

Copyright Rough~Rose

Anda tergolong di golongan yang mana? Sertai poll di bawah dan klik result untuk mengetahui golongan peminat yang tertinggi.


No comments:

Post a Comment