Wednesday, March 24, 2010

Rahsia kenapa ramai orang menyukai ros


Saya sering bertanya apakah yang menarik minat saya menyukai bunga ini sebenarnya?

Sejak bila pula bunga ros meraih populariti dan mendapat tempat dihati orang ramai dan sejak bila pula ros menjadi begitu sempurna sekali hingga dimertabatkan sebagai lambang cinta?

Mungkin jawapan terhadap persoalan saya tentang bagaimana saya meminati akan bunga ini akan terjawab sekiranya saya juga mendapat jawapan bagi soalan diatas.


Menilik sejarah

Yang pasti, manusia telah meminati dan memuja bunga ini sejak berkurun lamanya iaitu sejak 5,000 tahun yang lampau. Ini terbukti dengan penemuan fosil-fosil dan lakaran yang mempunyai corak bunga ros.

Manakala orang Roman pula menanam bunga ros untuk kerabat diraja mereka yang amat memuja bunga ini. Ia digunakan untuk apa jua situasi dan keadaan daripada sebagai hiasan meja makan, ramuan mandian, wangian, confetti hinggalah sebagai herba. Ia sungguh berharga pada masa itu sehinggakan masyarakat Rome telah mengalami kebuluran apabila pengusaha ladang lebih cenderung menanam bunga ros dari menanam tanaman makanan.

Dari pemerhatian saya, mungkin ramai yang tertarik menyukai ros kerana beberapa sebab:

  1. kerana kecantikan kelopaknya yang tersusun sempurna
  2. kerana wangiannya yang menusuk kalbu
  3. kerana durinya yang tajam yang juga membawa maksud 'aku bukan calang-calang bunga; hati-hati jika menyentuhku'; sifat yang hanya dimiliki oleh si ratu sahaja
  4. kerana rupa bentuknya (kelopak, duri, dll) yang ketara yang menyebabkan ia cukup senang dikenali dan diingati berbanding bunga-bunga yang lain
  5. bunga ros seperti mempunyai jiwa (roh)nya yang tersendiri
  6. kerana ada lebih daripada 30,000 jenis ros di dunia ini dan bilangannya bertambah daripada tahun ke tahun; pastinya ada satu ros yang disukai untuk setiap orang
  7. kerana bunga ros mempunyai bermacam-macam warna dan juga kombinasi warna yang begitu luas

Atau mungkin juga atas sebab-sebab lain yang masih belum tersingkap.

Kepopularitian ros

Tetapi yang saya pasti, ros mempunyai daya kekuatan dan tarikannya yang tersendiri jika dibandingkan dengan bunga-bunga yang lain, sekaligus meraih tempat sebagai bunga yang paling sesuai untuk membawa maksud 'cinta'.

Dan yang paling jelas, kepopularitian ros pula digembar-gemburkan oleh mereka yang meminatinya melalui beberapa laluan expresi yang kita sedia ketahui:

  1. kaitannya sebagai bunga pembawa lambang cinta; sekuntum bunga ros melambangkan 'I Love You'
  2. lakaran seni dan puisi indah nan romantis
  3. menghauskan poket di Hari Valentine sehinggakan ketiadaan sejambak ros untuk si dia bermakna 'kurang bemakna' hari itu
  4. keindahan taman bunga ala-ala English garden
  5. lagu-lagu yang merdu dan puitis

Emm.. apa yang menarik minat anda terhadap bunga ini?
Kongsilah dengan saya sebab-sebab anda ya!

1 comment:

  1. thanks banget, gan.. artikelnya sangat membantu sekali. keep posting, kawan..

    ReplyDelete